Sunday 22 March 2015

LATAR BELAKANG AKHBAR DAN MAJALAH DI TANAH MELAYU

    Akhbar Melayu seperti Pengasuh (1917-1940), Idaran Zaman (1925-1930), Warta Malaya (1930-1941) dan Majlis (1931-1941, 1945-1955) turut membicarakan isu-isu penting yang menyentuh kepentingan semasa dan masa hadapan orang Melayu dalam kemelut politik dan sosial yang sedang melanda.Akhbar-akhbar Melayu juga menjadi tempat serta alat kepada golongan terpelajar atau golongan intelektual menyebarkan pemikiran, idea, fahaman dan pendapat mereka terhadap isu dan permasalahan yang menyelubungi orang Melayu pada masa itu.
 Golongan ini dilihat cuba memecahkan ’kepompong bebalisme’ yang selama ini menyelubungi pemikiran orang Melayu pada masa tersebut supaya sedar akan kedudukan sebenar mereka yang semakin hari hak mereka semakin ’dirampas’ dan ’diragut’ oleh orang asing yang tidak mempunyai hak ke atas tanah air mereka.
Tokoh-tokoh seperti Muhammad Yunus bin Abdullah, Muhammad Yunus bin Abdul Hamid, Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Onn bin Jaafar, Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Muhammad yang bertugas sebagai pengarang atau pembantu pengarang telah menggunakan peluang ini untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka dan serta menyeru orang Melayu bangun memperbetulkan keadaan dari setiap segi termasuklah politik.Golongan ini juga turut menyertakan tuntutan orang Melayu terhadap kerajaan British.

 Sebagai contoh, Abdul Rahim Kajai yang bertugas sebagai pengarang akhbar Majlis, Warta Malaya dan Utusan Melayu telah menggunakan ruangan rencana pengarang sebagai medan mengkritik penjajah British, orang asing dan membela nasib orang Melayu untuk mencapai kemajuan.Selain para wartawan, guru-guru, pendakwah dan penggiat masyarakat juga turut menggunakan akhbar-akhbar Melayu untuk menyemarakkan kesedaran sosial dan politik di kalangan orang Melayu. Di samping itu, akhbar Melayu turut memberi perhatian kepada isu pergerakan politik orang Melayu. Antara akhbar Melayu yang menyentuh hal ini ialah Idaran Zaman, Saudara, Warta Malaya, dan Majlis. Sebagai contoh pada 11 September 1926, Idaran Zaman melalui rencananya yang bertajuk ”Persatuan Melayu” telah bersetuju terhadap penubuhan Kesatuan Melayu Singapura (KMS).


Rencana seperti ini turut memberi kesedaran kepada pembaca-pembaca terutamanya orang Melayu akan perlunya diwujudkan persatuan politik seperti KMS di NNM.Akhbar Saudara pada tahun 1931, telah mencadangkan supaya diadakan kongres di kalangan orang Melayu di seluruh NNM dan mencadangkan penubuhan Persekutuan Melayu.Cadangan yang dikemukakan oleh akhbar Saudara ini telah mendapat respon yang positif daripada akhbar-akhbar Melayu yang lain, contohnya sebagaimana sokongan yang diberikan oleh akhbar Warta Malaya dan Majlis.
Keadaan ini jelas menunjukkan akhbar-akhbar Melayu telah menggunakan kelebihan mereka ini untuk berkomunikasi sesama mereka dan juga berkomunikasi dengan orang Melayu. Kebebasan bersuara yang dimiliki oleh akhbar-akhbar Melayu telah memberikan ’tiket’ kepada mereka untuk menegur segala ’kepincangan’ kepimpinan yang wujud dalam mana-mana pihak tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Onn Jaafar yang merupakan pengarang Warta Malaya telah menyiarkan rencananya dalam akhbar tersebut, rencana yang membidas raja-raja Melayu yang telah gagal menjadi sebenar-benar pemimpin kepada orang Melayu.
 Dalam banyak hal, raja-raja Melayu tidak lagi melindungi ’rakyatnya’, tetapi bertindak menekan mereka. Onn menyatakan bahawa raja-raja Melayu sepatutnya melahirkan rasa hormat dan sayang mereka kepada ’rakyat’ dan bukan sebaliknya.

Penyiaran rencana seperti ini oleh akhbar Melayu setidak-tidaknya dapat menyedarkan orang Melayu bahawa pemimpin yang dipercayai dapat membela nasib mereka tidak dapat berfungsi sebagaimana yang diharapkan. 

No comments:

Post a Comment