Akhbar
Melayu seperti Pengasuh (1917-1940), Idaran Zaman (1925-1930), Warta Malaya
(1930-1941) dan Majlis (1931-1941, 1945-1955) turut membicarakan isu-isu
penting yang menyentuh kepentingan semasa dan masa hadapan orang Melayu dalam
kemelut politik dan sosial yang sedang melanda.Akhbar-akhbar Melayu juga
menjadi tempat serta alat kepada golongan terpelajar atau golongan intelektual
menyebarkan pemikiran, idea, fahaman dan pendapat mereka terhadap isu dan
permasalahan yang menyelubungi orang Melayu pada masa itu.
Golongan ini dilihat cuba memecahkan
’kepompong bebalisme’ yang selama ini menyelubungi pemikiran orang Melayu pada
masa tersebut supaya sedar akan kedudukan sebenar mereka yang semakin hari hak
mereka semakin ’dirampas’ dan ’diragut’ oleh orang asing yang tidak mempunyai
hak ke atas tanah air mereka.
Tokoh-tokoh
seperti Muhammad Yunus bin Abdullah, Muhammad Yunus bin Abdul Hamid, Syed
Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Onn bin Jaafar, Abdul Rahim Kajai,
Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Muhammad yang bertugas sebagai pengarang
atau pembantu pengarang telah menggunakan peluang ini untuk menyampaikan rasa
tidak puas hati mereka dan serta menyeru orang Melayu bangun memperbetulkan
keadaan dari setiap segi termasuklah politik.Golongan ini juga turut
menyertakan tuntutan orang Melayu terhadap kerajaan British.
Sebagai contoh, Abdul Rahim Kajai yang
bertugas sebagai pengarang akhbar Majlis, Warta Malaya dan Utusan Melayu telah
menggunakan ruangan rencana pengarang sebagai medan mengkritik penjajah
British, orang asing dan membela nasib orang Melayu untuk mencapai
kemajuan.Selain para wartawan, guru-guru, pendakwah dan penggiat masyarakat
juga turut menggunakan akhbar-akhbar Melayu untuk menyemarakkan kesedaran
sosial dan politik di kalangan orang Melayu. Di samping itu, akhbar Melayu
turut memberi perhatian kepada isu pergerakan politik orang Melayu. Antara
akhbar Melayu yang menyentuh hal ini ialah Idaran Zaman, Saudara, Warta Malaya,
dan Majlis. Sebagai contoh pada 11 September 1926, Idaran Zaman melalui
rencananya yang bertajuk ”Persatuan Melayu” telah bersetuju terhadap penubuhan
Kesatuan Melayu Singapura (KMS).
Rencana
seperti ini turut memberi kesedaran kepada pembaca-pembaca terutamanya orang
Melayu akan perlunya diwujudkan persatuan politik seperti KMS di NNM.Akhbar
Saudara pada tahun 1931, telah mencadangkan supaya diadakan kongres di kalangan
orang Melayu di seluruh NNM dan mencadangkan penubuhan Persekutuan
Melayu.Cadangan yang dikemukakan oleh akhbar Saudara ini telah mendapat respon
yang positif daripada akhbar-akhbar Melayu yang lain, contohnya sebagaimana
sokongan yang diberikan oleh akhbar Warta Malaya dan Majlis.
Keadaan ini
jelas menunjukkan akhbar-akhbar Melayu telah menggunakan kelebihan mereka ini
untuk berkomunikasi sesama mereka dan juga berkomunikasi dengan orang Melayu.
Kebebasan bersuara yang dimiliki oleh akhbar-akhbar Melayu telah memberikan
’tiket’ kepada mereka untuk menegur segala ’kepincangan’ kepimpinan yang wujud
dalam mana-mana pihak tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Onn Jaafar yang
merupakan pengarang Warta Malaya telah menyiarkan rencananya dalam akhbar
tersebut, rencana yang membidas raja-raja Melayu yang telah gagal menjadi
sebenar-benar pemimpin kepada orang Melayu.
Dalam banyak hal, raja-raja Melayu tidak lagi
melindungi ’rakyatnya’, tetapi bertindak menekan mereka. Onn menyatakan bahawa
raja-raja Melayu sepatutnya melahirkan rasa hormat dan sayang mereka kepada
’rakyat’ dan bukan sebaliknya.
Penyiaran
rencana seperti ini oleh akhbar Melayu setidak-tidaknya dapat menyedarkan orang
Melayu bahawa pemimpin yang dipercayai dapat membela nasib mereka tidak dapat
berfungsi sebagaimana yang diharapkan.